:
ABOUT%20CAKNE


MISI

Memberi sokongan holistik kepada semua pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz secara khususnya dan seluruh Malaysia secara amnya tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan.

TENTANG KAMI

CAKNE adalah sebuah kumpulan sokongan untuk pesakit kanser kanak-kanak yang mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) serta ahli keluarga mereka. Ia ditubuhkan pada penghujung tahun 2008 oleh Hj. Mohd Shah Awaluddin dan isterinya, Puan Nor Hashimah Sulaiman serta beberapa orang ibu bapa lain yang anak mereka juga diuji dengan kanser ketika itu.

CAKNE seterusnya telah didaftarkan secara rasmi atas nama Persatuan Sokongan Kanser Kanak Kanak PPUKM  pada 2hb Ogos 2013 dengan No Pendaftaran PPM-020-10-02082013.

DEFINISI CAKNE

Dalam Bahasa Melayu “CAKNE” diambil daripada perkataan “cakne” atau “cakna”, dialek Pantai Timur yang bermaksud “ambil peduli” atau “ambil berat”.

Sementara itu dalam Bahasa Inggeris pula “CAKNE” adalah akronim kepada CANCER ASSOCIATES & KINDRED NETWORK.

KENAPA CAKNE DITUBUHKAN?

Sebagaimana yang sedia maklum, kanser adalah suatu penyakit yang amat digeruni manusia. Kedahsyatan penyakit, rawatan serta kesan kesan sampingannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi oleh orang dewasa apatah lagi oleh kanak-kanak yang belum mengerti apa apa.

Apabila seseorang kanak-kanak menghidap kanser, seluruh keluarganya akan turut terjejas. Ibu biasanya terpaksa berada berbulan-bulan di hospital bersama anak yang sakit secara berterusan dan dengan itu terpaksa meninggalkan anak-anak yang lain di rumah. Bapa pula tidak dapat bekerja seperti biasa kerana terpaksa membahagikan masa diantara tempat kerja-rumah-hospital. Adik-beradik pula terabai sekiranya tidak mempunyai sistem sokongan yang mantap. Masalah kewangan pula sudah pasti menghambat kerana kos rawatan yang tinggi dan berterusan. Ia bertambah teruk apabila salah seorang daripada ibu bapa terpaksa berhenti kerja atau bercuti tanpa gaji.

Kadang-kadang walaupun telah bertahun-tahun menjalani rawatan, Allah SWT dengan segala kebijaksanaan-Nya tetap juga mengambil anak itu pulang ke rahmatullah. Betapa beratnya musibah ini, hanya mereka yang telah melaluinya sahaja yang mengetahui hakikat pedihnya sebuah kehilangan.

Namun sebagai insan yang bertakwa, semua musibah ini merupakan ujian Ilahi yang diberi kepada mereka yang sebenarnya mampu memikulnya.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya…”

(Al-Baqarah: 286)

Pada masa yang sama, sesungguhnya kasih sayang Allah SWT bukan hanya melalui kegembiraan, kekayaan, kemenangan dan kesihatan tetapi juga melalui musibah. Kesabaran dan keredhaan menghadapinya akan menerima ganjaran yang hebat.

“…………. Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

(Az Zumar : 10)

OBJEKTIF CAKNE

  • Membantu pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan.
  • Meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pesakit kanser kanak-kanak dan ahli keluarga mereka tentang penyakit yang dihadapi serta kaedah rawatan, kaedah penjagaan dan yang seumpamanya.
  • Meningkatkan tahap kesediaan dan ketahanan pesakit kanser kanak-kanak dan ahli keluarga mereka semasa sebelum rawatan, semasa sedang rawatan dan selepas rawatan.
  • Menyediakan bantuan kewangan dan peralatan untuk pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka yang memerlukan berdasarkan merit dan kemampuan kewangan pertubuhan.
  • Meningkatkan tahap kesedaran anggota masyarakat tentang cara cara untuk menyokong pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka.
  • Meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit kanser kanak-kanak khususnya dan penjagaan kesihatan secara umumnya.
  • Meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli khususnya dan anggota masyarakat amnya.